Sunday, 8 May 2016

Filled Under:

Wajibkan Lepasan SPM Sambung Pengajian Dalam TVET.


KUALA LUMPUR: Kerajaan disyor mewajibkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak melanjutkan pengajian dalam bidang akademik supaya menyambung pengajian mereka ke institusi yang menawarkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera 2016 Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, ini kerana pasaran industri kini banyak menumpukan kepada graduan yang mempunyai lulusan kemahiran dan teknikal.

"Di negara luar seperti Korea, TVET dikategori sebagai kelas tinggi iaitu pelajar mereka yang tidak ke universiti akan diwajibkan mengambil bidang yang berasaskan kemahiran.

"Sekiranya cadangan ini dapat direalisasikan, kebergantungan negara kepada tenaga mahir dari luar akan dapat dikurangkan," katanya selepas ditemui pemberita pada majlis Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2016 di sini, Ahad.

Sahol Hamid berkata, tanggapan sesetengah ibu bapa yang mendakwa siswazah berkemahiran dan teknikal tidak setanding dengan kerjaya bidang lain, adalah pandangan lapuk dan perlu diperbetulkan.

Sebaliknya, katanya siswazah yang memiliki kemahiran tertentu ditawarkan gaji yang lumayan antara RM1,200 hingga RM15,000 bergantung kepada kelayakan dan pengalaman.

Dalam pada itu, Sahol Hamid berkata program JBP 2016 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sejak Mac lepas berjaya menawarkan 23,000 tempat kepada lepasan SPM di institusi pengajian berasaskan kemahiran.

Katanya, terdapat kira-kira 10,000 tempat lagi ditawarkan dalam siri jelajah JBP 2016 di 20 Parlimen yang akan berakhir 29 Mei ini.

JPB 2016 bertujuan untuk memberi peluang kedua kepada pelajar Bumiputera melanjutkan pengajian dengan rakan strategik institusi pendidikan antaranya Universiti Kuala Lumpur (UniKL); kolej komuniti; Kolej Polytech Mara (KPTM); Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC).




0 comments:

Post a Comment