Saturday 7 May 2016

Filled Under:

JENAZAH NORIAH SELAMAT DIKEBUMIKAN.


TANJUNG KARANG: Jenazah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 12, Sungai Burong, di sini, kira-kira jam 2 pagi tadi.

Sebelum itu, jenazah Allahyarhamah Noriah tiba di Masjid Ar-rahmah Batu 12 untuk solat jenazah.

Jenazah Allahyarhamah diterbangkan dari Pangkalan Udara Kuching ke Pangkalan Udara Subang dengan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Charlie C130 yang tiba kira-kira jam 11.30 malam tadi.

Antara yang menziarahi jenazah Allahyarhamah Noriah, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim, Naib Presiden Gerakan Datuk A Kohilan Pillai dan Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Allahyarhamah meninggalkan empat anak, dua lelaki dan dua perempuan iaitu Mohd Shafiq Ishak, 29; Ain Shafinas Ishak, 24; Anis Athirah Ishak, 21, dan Adam Aidid Suhaili, 19, serta seorang anak angkat, Adam Mukhriz Abdullah berusia tiga tahun.

Mayat Noriah ditemui pasukan penyelamat kira-kira jam tengah hari tadi di Sungai Batang Lupar, Sebuyau, Sarawak.

Lima lagi penumpang dan juruterbang pesawat Eurocopter AS350 Écureuil dinaiki Allahyarhamah Noriah, iaitu suami Noriah, Asmuni Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Muhammad Khair-il Anuar Wan Ahmad; pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas masih belum ditemui.





0 comments:

Post a Comment