Friday 22 April 2016

Filled Under:

Pemilik Rayani Air Diberi Tempoh Hingga Selasa ini Lunaskan Tunggakan Gaji?

SEPANG: Pemilik Rayani Air diberi tempoh sehingga Selasa ini untuk melunaskan tunggakan gaji kira-kira 400 kakitangan syarikat penerbangan itu untuk bulan Mac berjumlah RM1.5juta.

Pengurus Operasi Rayani Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Zulkalnain Azdan yang mewakili kakitangan tersebut berkata sekiranya tunggakan itu gagal dilaksanakan, tindakan undang-undang akan diambil terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air, Ravi Alagendrran dan isterinya, Datuk Karthiyani Govindan.

Selain isu tunggakan gaji, para pekerja yang berkhidmat di syarikat yang dikatakan 'patuh syariah' itu juga merasa tertipu apabila tiada pemotongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibuat.

"Kami cuba menghubungi Ravi namun sehingga kini tiada khabar daripada dia bagi menyelesaikan masalah yang melanda syarikat miliknya," dalam sidang akhbar di sini, Jumaat.

Dalam pada itu, beliau turut terkilan apabila Ravi telah menggunakan saluran media untuk memutar belitkan cerita mengenai masalah yang dialami Rayani Air.

Beliau mendakwa antara pembohongan yang dibuat ialah dengan mengatakan pekerja mogok serta ada unsur sabotaj walhal ia tidak berlaku.

Katanya notis penggantungan operasi yang diumumkan secara mengejut pada 8 April oleh pihak Rayani Air juga dibuat tanpa perbincangan dengan pihak yang berkaitan menyebabkan kakitangannya merasai kesan dan berdepan masalah kewangan untuk meneruskan kehidupan.

Rayani Air yang memulakan operasi sejak Disember lalu adalah syarikat penerbangan yang pertama di Malaysia beroperasi berlandaskan patuh syariah.

Pada 11 April, Jabatan Penerbangan Awam telah mengeluarkan arahan pergantungan sementara Sijil Operator Udara Rayani Air selama tiga bulan.




0 comments:

Post a Comment