Tuesday, 26 April 2016

Filled Under:

Belum Ada Keperluan Bekalkan Antivenom Ular Di Sekolah.


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menjelaskan belum ada keperluan untuk membekalkan antivenom ular di sekolah-sekolah walaupun berlaku beberapa kes murid dipatuk ular baru-baru ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata bekalan antivenom yang digunakan untuk rawatan patukan ular berbisa boleh diperoleh di semua hospital kerajaan di negara ini.

"Bukan semua ular yang patuk itu berbisa. Terdapat dua jenis ular, satu yang berbisa dan satu bukan berbisa. Jadi, antivenom hanya digunakan untuk patukan ular yang berbisa sahaja dan antivenom itu kita jamin bekalannya memang mencukupi," katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen, di sini Selasa.

Beliau mengulas beberapa kes pelajar dipatuk ular, terbaharu seorang pelajar tingkatan tiga sekolah berasrama penuh, Sekolah Dato' Abdul Razak Sungai Gadut, Seremban, yang dipatuk ular pada Sabtu lepas dan kes seorang murid tahun dua yang dipatuk ular dalam kawasan sekolah semasa kelas Pendidikan Jasmani di padang sekolahnya di Rembau, Rabu lepas.

Selain itu, seorang murid tahun satu, Nuriey Nadhirah Roslan, 7, meninggal dunia dipercayai akibat dipatuk ular pada 19 April lepas di sekolahnya, Sekolah Kebangsaan Dato' Hashim 1, Pengkalan Chepa di Kota Bharu, Kelantan.

Dalam perkembangan lain, pada sesi soal jawab di Dewan Negara Dr Subramaniam berkata beberapa kajian lanjutan perlu dilakukan sebelum kerajaan membuat keputusan mengenai penggunaan vaksin denggi di negara ini dan keputusan mengenai kelulusan penggunaan vaksin itu akan dibuat pada Jun atau Julai ini.

Katanya syarikat farmasi telah mengemukakan penilaian, dan vaksin akan didaftarkan dalam negara, namun terpulang pada kerajaan menentukan bagaimana vaksin itu boleh digunakan.

"Berdasarkan hasil kajian yang ada, ia akan menjadi garis panduan bagaimana ia boleh digunakan, kita jangka keputusan boleh dibuat pada bulan Jun atau Julai akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Chandra Mohan S Tambirajah yang mahukan kepastian adakah Malaysia akan mengikut jejak langkah Filipina menjadi negara Asia pertama yang meluluskan penjualan vaksin demam denggi pertama di dunia baru-baru ini.

Dr Subramaniam berkata berdasarkan hasil kajian yang dibuat, vaksin denggi tersebut boleh mengurangkan kes-kes denggi serius dan mengurangkan jumlah kes yang perlu dimasukkan ke hospital yang merupakan suatu petunjuk yang baik.

Sementara itu, ketika menjawab soalan asal Senator Datuk Abdul Rahman Mat Yasin mengenai kaedah dan teknik dalam mengawal pembiakan nyamuk Aedes bagi membendung denggi, Dr Subramaniam berkata, sehingga 5 April lepas sebanyak 574 lot tanah kosong seluruh negara telah dibersihkan sebagai salah satu cara mengawal pembiakan Aedes.

Selain itu katanya, Operasi Penguatkuasaan Pembiakan Aedes secara besar-besaran di seluruh negara telah diadakan dalam tempoh dua bulan bermula 11 April terutama di lokasi 'panas' dan wabak.




0 comments:

Post a Comment