Wednesday 17 August 2016

Resepi Lengkap Nasi Ayam Penyet Sedap

Nasi Ayam Penyet semakin popular dan menjadi permintaan sejak akhir-akhir ini. Buat anda yang teringin untuk merasa masakan ini tetapi ingin menyimpan bajet, bolehlah mencuba resepi ini, pastinya tidak mengecewakan. Selamat mencuba!

Bahan-Bahan untuk Ayam :

(**)1 ekor ayam - dipotong 4
(**)2 kiub ayam ADABI

Bahan Perapan Ayam :

(**)1/2 sudu makan jintan manis
(**)1/2 sudu makan jintan putih
(**)3 sudu makan ketumbar biji
(**)1/2 sudu makan serbuk lada putih
(**)1 sudu makan serbuk kari daging
(**)1 sudu makan serbuk kunyit
(**)3 ulas bawang putih
(**)1 cm halia
(**)1 sudu teh garam
(**)Sedikit air
(**)Sedikit minyak
(**)1/2 cawan tepung beras
(**)1 biji telur


Bahan Sampingan :

Tempe - dihiris nipis
Tauhu - dihiris nipis
Terung panjang - dihiris

Cara-Cara :

1)Cuci ayam. Rebus ayam dalam air yang secukupnya untuk masak nasi dan dibuat sup. Masukkan kiub ayam. Rebus hingga ayam empuk. Angkat ayam dan sejatkan. Ketepikan.
2)Goreng (tanpa minyak) jintan manis, jintan putih dan biji ketumbar dengan api yang perlahan hingga naik harum.
3)Masukkan bahan digoreng tadi, serbuk kari, serbuk kunyit, serbuk lada putih, halia, bawang putih, garam ke dalam mesin pengisar. Tambahkan sedikit air dan kisar hingga halus.
4)Lumurkan bahan kisar pada ayam  yang sudah direbus tadi. Perap selama 2 hingga 3 jam hingga semalaman.
5)Lebihan bahan kisar akan digunakan untuk menyalut tempe, tauhu dan terung, diperap dalam bekas berasingan sebelum digoreng.
6)Baki bahan perapan, dicampur dengan sedikit air,tepung beras dan telur.
7)Celup ayam yang diperap ke dalam adunan tepung beras, dan goreng terendam hingga warna kuning keemasan. Tak perlu goreng lama kerana ayam sudah masak. Angkat dan toskan.
8)Baki adunan tepung celup ayam tadi, renjis-renjiskan dalam minyak yang panas dan goreng.
9)Proses menggoreng boleh dilakukan setelah nasi, sambal penyet selesai disediakan.
10)Goreng tempe dahulu, diikuti oleh tauhu dan terung. Akhir sekali barulah goreng ayam menggunakan baki minyak gorengan tempe, tauhu dan terung tadi.

Bahan-Bahan untuk Nasi Ayam :

(**)4 cawan beras
(**)3 ulas bawang putih - hiris nipis
(**)1 batang kulit kayu manis
(**)2 kuntum bunga lawang
(**)4 biji buah pelaga
(**)5 1/2 cawan air rebusan ayam
(**)2 helai daun pandan - disimpul
(**)Sedikit marjerin/butter
(**)Garam secukup rasa

Cara-Cara :

1)Bersihkan beras dan toskan.
2)Di dalam periuk nasi, cairkan marjerin.  Tumis kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, bawang putih dan daun pandan hingga wangi.
3)Masukkan beras dan goreng selama 3 hingga 5 minit.
4)Masukkan air rebusan ayam dan garam. Kacau rata dan masak nasi seperti biasa hingga nasi masak sempurna. 
5)Gemburkan nasi, tabur sedikit bawang goreng.

Bahan-Bahan untuk Sup :

(**)Air rebusan ayam
(**)1 sup bunjut
(**)1 batang serai - dititik
(**)1 inci halia - dihiris nipis
(**)Daun sup dan daun bawang - dihiris
(**)Bawang goreng

Cara-Cara :

1)Panaskan semula baki air rebusan ayam.
2)Tambah sup bunjut, serai dan halia. Masak hingga mendidih.
3)Perasakan dengan garam. Taburkan daun sup dan daun bawang. Tutup api.
4)Bila hendak dihidangkan, taburkan sedikit bawang goreng.

Bahan-Bahan untuk Sambal Penyet :

(**)10 biji cili padi - dipatah 2
(**)10 biji cili merah - dipatah 2
(**)4 biji bawang besar - belah 4
(**)3 ulas bawang putih
(**)5 biji buah tomato - belah 4
(**)5 cm belacan bakar
(**)2 sudu makan ikan bilis
(**)1 keping gula melaka
(**)sedikit minyak
(**)Limau nipis

Cara-Cara :

1)Panaskan minyak dalam kuali. Goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan ketepikan.
2)Dengan minyak yang sama, goreng cili api, cili merah,bawang besar, bawang putih dan tomato hingga layu. Angkat dan ketepikan.
3)Apabila bahan gorengan sudah agak sejuk, masukkan ke dalam mesin pengisar, begitu juga ikan bilis goreng dan belacan. Masukkan sedikit minyak masak untuk menggantikan air ke dalam mesin pengisar. Kisar hingga halus.
4)Masukkan bahan kisar ke dalam kuali dan tumis hingga harum dan pecah minyak. 
5)Masukkan gula melaka dan garam. Kacau rata.
6)Tutup api. Apabila hendak dihidangkan,perahkan jus limau nipis.




0 comments:

Post a Comment